.

PEKERJA DI UTAMAKAN, ORGANISASI DI MAJUKAN

PROGRM SERIBU SAHABAT BATU PAHAT

Batu Pahat – Pada 20 Februari 2010, bertempat di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor Darul Takzim telah berlangsung Program Himpunan Seribu Sahabat dan Pertandingan Nasyid antara Blok. Cawangan Batu Pahat mempunyai 7 blok iaitu Simpang Kanan, Kampung Baharu, Sungai Kluang, Simpang Kiri, Bagan, Sri Gading dan Sri Medan.

Program Himpunan Seribu Sahabat ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Hj. Mohd Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat merangkap Timbalan Menteri Pelajaran. Turut hadir di majlis ini ialah Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan AIM, Zubairi Mohd Fadzil, Pengurus Wilayah Selatan dan Mazlan Ramli, Pengurus Cawangan Batu Pahat. Majlis ini juga dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat, Wilayah dan Cawangan yang berdekatan.

Pada majlis ini, YB. Dr. Hj. Mohd Puad Zarkashi amat berbangga dengan kejayaan dan peningkatan prestasi AIM dalam membasmi kemiskinan. Selari dengan hasrat ini juga, kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru yang berfungsi untuk memberi kemudahan dan pembelaan kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Pada masa yang sama kerajaan juga berhasrat untuk mengurangkan beberapa subsidi seperti subsidi minyak dan mengutamakan sistem mikro kredit. AIM telah membuktikan kejayaan sistem ini dengan lahirnya ramai usahawan hasil kerjasama dan usaha AIM.

Dalam ucapannya, beliau turut melahirkan rasa yakin bahawa AIM mampu menghasilkan 4,000 usahawan menjelang 2012 seperti yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan melalui NKRA. Selain itu, beliau juga menyeru kepada semua Sahabat supaya mengutamakan pendidikan anak-anak sejajar dengan ikrar yang sering diungkapkan pada setiap kali perjumpaan mereka di Mesyuarat Pusat. Di majlis ini juga, beliau berkesempatan menyampaikan anugerah kepada Sahabat dan Pusat Cemerlang. Antara anugerah yang disampaikan ialah Pusat Terbaik, Pusat Berkapasiti Penuh dan juga Sahabat Istimewa Cemerlang.

Program ini juga diserikan dengan pertandingan nasyid yang melibatkan kesemua tujuh blok. Program berakhir jam 2.00 petang dengan acara penyampaian hadiah kepada peserta nasyid oleh Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan AIM. Juara Pertandingan Nasyid dimenangi oleh Kumpulan Seri Tampok dari Blok Sungai Kluang. Pada majlis penutup itu juga diadakan cabutan bertuah dan penyampaian cenderahati kepada anak-anak Sahabat yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR yang lalu.

Secara keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar atas sokongan Sahabat dan kakitangan AIM.

No comments:

Post a Comment