.

PEKERJA DI UTAMAKAN, ORGANISASI DI MAJUKAN

Karnival Usahawan Ikhtiar 2009

Karnival Usahawan Ikhtiar 2009 telah berlangsung pada 30 Julai hingga 1 Ogos 2009 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu. Pelbagai acara menarik telah diatur sempena karnival ini. Karnival yang berlangsung selama tiga hari ini telah dirasmikan oleh Y.H. Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).Dalam acara ini, Y.H. Dato’ dan pihak pengurusan kanan AIM telah diarak menaiki beca berhias ke pentas utama. Turut hadir dalam majlis ini Dato’ Abu Hassan Din al-Hafiz yang merupakan panel syariah AIM.

Dalam ucapan perasmian, Y.H. Dato’ Amihamzah melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Sahabat AIM Terengganu. Sehingga Jun 2009, AIM telah mengeluarkan pembiayaan RM520 juta kepada 19,899 Sahabat AIM di Terengganu. Beliau turut berbangga dengan kadar bayar balik 99% Sahabat Terengganu dan pencapaian 100% keberkesanan operasi Cawangan Setiu. Usaha yang dilakukan oleh AIM ini telah melahirkan 711 orang Sahabat yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan. Sementara itu, dalam sidang akhbar Y.H Dato’ menyatakan bahawa hasrat kerajaan terhadap AIM untuk melahirkan 4,000 orang usahawan pada tahun 2012 akan dicapai mengikut tempoh yang ditetapkan. Menjawab kepada pertanyaan wartawan, beliau menyatakan tidak mustahil untuk AIM menjadi sebuah bank khusus untuk orang miskin dalam tempoh lima tahun akan datang.

Acara Forum Perdana Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Hj. Zaidan Ismail, Timbalan Pengarah Jabatan Audit telah membariskan panel penceramah iaitu Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz Mohd Fadli Yusof al-Hafiz dan Dr. Nizaita Omar. Forum ini membincangkan tajuk “Usahawan Beretika”.

Pertandingan mewarna yang disertai oleh kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun, tempat pertama telah dimenangi oleh adik Nurul Faizah Ismail. Sementara adik Norsyazwan Sofea Suzaini dan adik Norsyalisa Md Sobri memenangi tempat kedua dan ketiga. Bagi pertandingan mewarna yang disertai kanak-kanak berusia antara 8 hingga 10 tahun pula menyaksikan adik Mohd Alif Mustaqim, Norasyikin Mohd Nor dan Norsabrina Mohd Sabri memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kedua-dua pertandingan ini menerima hamper dan wang tunai bernilai RM100 (pertama), RM70 (kedua) dan RM50 (ketiga).

Karnival Usahawan Ikhtiar 2009 diakhiri dengan acara penutup yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan AIM, Hjh. Zabidah Ismail. Dalam majlis ini, Hjh. Zabidah menyampaikan hadiah mencipta slogan Karnival Usahawan Ikhtiar iaitu “Keusahawanan Menerajui Kecemerlangan” yang dimenangi oleh Maznah Talib dari pejabat Wilayah Terengganu yang membawa pulang wang tunai bernilai RM200. Hjh. Zabidah turut membuat cabutan bagi hadiah utama iaitu sebuah motosikal. Hadiah utama ini telah dimenangi oleh Khairi Zainol yang merupakan Sahabat dari Cawangan Hulu Terengganu.

Karnival ini berjalan dengan lancar berkat sokongan daripada pelbagai pihak seperti ahli Lembaga AIM, kakitangan AIM, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya Kuala Terengganu, Jabatan Penerangan Kuala Terengganu, RELA Kuala Terengganu, PDRM Kuala Terengganu dan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain.

alhamdulillah, karnival usahawan ikhtiar 2009 berjalan lancar tampa sebarang masalah, ini disebabkan oleh kerjasama dan kekuatan silaturrahim yang di tunjukkan oleh kakitangan AIM wilayah teranggunu. Di harapkan usaha yang di jalankan untuk menjayakan karnival ini tidak dilupakan, tahniah sekali lagi..

No comments:

Post a Comment